Isa Samad BUKAN Calon Terbaik UMNO

Wednesday, September 30, 2009

[Penamaan Calon 03 Oktober 2009] Penyokong Pakatan Rakyat Sila Ambil Perhatian

SPR telah menentukan bahawa daftar pemilih yang akan digunakan dalam Pilihan Raya Kecil N.31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2008 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2009 dan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Kedua 2009 yang telah dikemas kini sehingga 04 September 2009. Daftar pemilih bagi Pilihan Raya Kecil N.31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan mengandungi 13,664 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos.

Bagi maksud pilihan raya kecil ini, SPR telah memutuskan untuk menggunakan Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi
Undi setelah mengambil kira faktor-faktor kesesuaian tempat itu. Bagi urusan pengundian pos pula, proses pengeluaran dan pengiraan Undi Pos akan dibuat di Bilik Mesyuarat Pejabat
Daerah Port Dickson. Manakala Pusat Mengundi pula, sebanyak lapan (8) buah Pusat Mengundi yang melibatkan lapan (8) buah sekolah dan 18 Tempat Mengundi (Saluran). Dalam Pilihan Raya Kecil N.31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan seramai 275 orang petugas akan terlibat dalam pengendalian pilihan raya kecil itu dan mereka ini akan diberikan latihan yang mencukupi bagi memastikan proses pilihan raya kecil itu berjalan dengan lancar. Baca lagi.

Majlis Perbandaran Port Dickson
KM 1, Jalan Pantai
71009 Port Dickson
Negeri Sembilan Darul Khusus


* Kepada penyokong pakatan rakyat ingin turut serta perarakan calon tetapi kurang arif dengan bandar Port Dickson. Sila ambil perhatian! Selepas keluar dari lebuhraya Seremban - Port Dickson dan akan berakhir di sebuah bulatan sila amik arah kanan menuju ke bandar Port Dickson. Sepanjang laluan ini anda akan menemui pelbagai hotel antaranya Bayu Beach Resort, Seri Malaysia, Golden Straits Villa, Avillion Village Resort. Anda juga akan melepasi rumah Zaiton, SMK Tinggi Port Dickson dan masjid Bagan Pinang. Laluan alternatif sila ikut jalan lama Seremban - Port Dickson melalui pekan Lukut dan seterusnya keluar di pekan Port Dickson atau ikut lebuhraya Seremban - Port Dickson dan keluar di tol Lukut bagi mengelakkan kesesakan.

[PRK N.31 Bagan Pinang] Tepat seperti yang diramalkan



Sah! Isa Samad bekas ahli parlimen Jempol dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan bakal bertanding sebagai calon Umno di PRK Bagan Pinang. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkannya di hadapan lebih 20,000 orang di bilik operasi BN. Pilihan raya itu akan diadakan pada 11 Oktober manakala penamaan calon akan berlangsung Sabtu ini.

Pas pula seperti dijangka meletakkan Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly bin Omar. Berusia 45 tahun dan pernah bertanding di Dun Lenggeng sejak tahun 1999. Berkelulusan Master Sains (UPM) dan Ijazah Komunikasi (UiTM).

Monday, September 28, 2009

[PRK N.31 Bagan Pinang] Pas & Umno Umum Calon Esok

Esok 29 September 2009, Pas dan Umno akan mengumumkan calon masing-masing untuk dipilih para pengundi Bagan Pinang. Penduduk Port Dickson amnya akan menerima kunjungan pelancong tambahan iaitu pelancong politik sepanjang tempoh berkempen sehingga tamatnya PRK ini. Sehingga kinipun masyarakat Port Dickson mahupun Bagan Pinang sudah ditawarkan pelbagai projek 'mee segera' bagi mengaburi pengundi. Bertuahlah nasib badan menjadi sebahagian pengundi di tempat pilihan raya kecil, bermula dari PRK pertama pasca PRU 2008 Permatang Pauh hinggalah kepada Permatang Pasir tektik dan senjata merasuah rakyat diamalkan Umno sejak dulu, kini dan selamanya .

Pun begitu Umno masih dalam dilema memilih calonnya, terbaru timbalan presiden Umno, Muhyidin Yasin mengesahkan sudah menerima calon alternatif selain dari Tan Sri Isa Samad untuk diangkat menjadi calon. Tidak diketahui samada Umno Telok Kemang sendiri yang menampilkan nama calon alternatif kepada Muhyidin seperti yang diminta atau ada pihak lain terutamanya Umno Negeri Sembilan di bawah pimpinan Mohamad Hassan yang turut sama mengemukakan nama calon sehingga kini masih belum ada kepastian. Mohamad sudah pastinya akan turut 'cucuk jarum' bagi memastikan Isa benar-benar tidak diangkat menjadi calon memandangkan Isa berpengaruh mengganggu beliau di kerusi empuk menteri besar.

PM 1Malysia, Najib Razak bersama Muhyidin Yasin dijangka akan turut hadir di majlis yang berlangsung pada sebelah petang di Kolej Jururawat (berhampiran Hospital PD - Maaf sekiranya info ini salah) untuk mengumumkan samada Isa atau insan lain bakal tercalon mewakili Umno di Bagan Pinang.

Pada sebelah malamnya Pas pula dijangka bakal mengumukan calonnya oleh Dato' Seri Presiden Pas Hj. Abdul Hadi Awang dalam sesi ceramah umum di MTD Bt. 6 ½, Telok Kemang. Tiga calon yang dikenal pasti antaranya Pesuruhjaya Pas negeri, Zulkefly Omar, AJK perhubungan negeri ustaz Kasim Tahir dan calon semasa PRU 2008 merangkap YDP Telok Kemang ustaz Ramli Ismail.

Sunday, September 27, 2009

[Harakah] Bagan Pinang ulangi kejayaan PAS di Kuala Terengganu (2)

Pilihan raya kecil Bagan Pinang akan menjadi petunjuk penting bagi menentukan jatuh bangun politik Umno dan Barisan Nasional (BN) di negara ini.

Mengambil kira gelombang kebangkitan rakyat yang belum surut, Umno tentunya gusar peristiwa pilihan raya kecil Kuala Terengganu boleh berulang di Bagan Pinang.

Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi BN pada pilihan raya umum Mac 2008 berjaya dirampas PAS melalui pilihan raya kecil pada Januari lalu.

Begitu juga Bagan Pinang dimenangi BN pada pilihan raya umum lalu.

Namun kemerosotan undi daripada lebih 6,000 pada pilihan raya umum 2004 kepada 2,333 undi pada Mac 2008 jelas menggambarkan undi BN susut begitu besar.

Yang Dipertua PAS, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, biar pun Bagan Pinang merupakan kawasan kubu Umno, namun pengaruh parti itu mulai merosot di seluruh negara sekarang.

Katanya, calon PAS pada pilihan raya umum lalu, Ramli Ismail hanya ketinggalan

2,333 undi berbanding Allahyarham Dato' Azman Mohd Noor.

"Sedangkan pada pilihan raya umum 2004 BN menang dengan majoriti lebih 6,000 undi di situ," katanya selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya PAS anjuran Majlis Tindakan Dun (MTD) Kuala Besut kepada penduduk miskin di Markah Tarbiah PAS Kampung Baru, baru-baru ini.

Adun BN Bagan Pinang itu meninggal dunia pada petang Jumaat lalu akibat jangkitan kuman dalam darah di Hospital Pakar Seremban.

Mengambil kira faktor tersebut Wan Azhar yakin calon PAS akan membuat kejutan lagi merampas Dun Bagan Pinang pada pilihanraya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Selain itu katanya, faktor sokongan pengundi India dan Cina kira-kira 30 peratus daripada jumlah pengundi di Dun berkenaan boleh menjadi penentu.

"Tambahan pula sekarang PAS dan Pakatan Rakyat mempunyai banyak isu yang boleh diketengahkan sebagai bahan kempen antaranya isu perarakan kepala lembu, isu pemindahan kuil dan kenaikan harga minyak," katanya.

Kedudukan kawasan itu agak unik apabila Pakatan Rakyat menguasai empat daripada enam kerusi di Parlimen Teluk Kemang.

Kerusi parlimen itu sekarang diwakili Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri Sembilan, Dato' Kamarul Bahari.

Beliau mengalahkan calon BN, Datuk S.Sothinathan dengan mojoriti 2,804 undi.

BN juga menang di kerusi Dun Linggi. Bagaimana pun Pakatan Rakyat menguasai tiga Dun di kawasan berkenaan.

Wan Azhar juga berharap ahli-ahli dan penyokong PAS Besut turut membantu kempen pada pilihanraya kecil tersebut nanti.

Sementara itu dalam perkembangan lain Pengarah MTD Kuala Besut, Aminuddin Mohd Ali berkata, MTD terbabit memperuntukkan sebanyak RM34,000 sumbangan kepada 340 fakir miskin di Dun berkenaan, di mana setiap seorang menerima RM100.

Katanya, seramai 10 penerima dipilih dari setiap cawangan PAS di Dun Kuala Besut. Hadir sama pada program tersebut Timbalan Yang Dipertua PAS Besut, Haji Hassan Salleh.

[Harakah] Bagan Pinang ulangi kejayaan PAS di Kuala Terengganu (1)

PAS Negeri Terengganu melahirkan keyakinan dapat mengulangi kejayaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada PRK Bagan Pinang, Negeri Sembilan pada 11 Oktober depan.

Setiausahanya, Haji Yahaya Ali berkata, PAS negeri telah bersiap sedia menghantar para petugas bagi menghadapi PRK itu.

"Kami mempunyai harapan dan keyakinan yang tinggi dapat mengulangi kejayaan PRK Bagan Pinang dengan pengalaman yang kita ada dalam PRK Kuala Terengganu lalu," ujarnya.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan 11 Oktober ini hari mengundi bagi PRK Bagan Pinang sementara penamaan calon pada 3 Oktober.

Katanya, dengan berbekalkan pengalaman yang diperolehi pada PRK Parlimen Kuala Terengganu yang diadakan pada 17 Januari lalu, PAS mampu memenangi kerusi Dun Bagan Pinang dalam PRK itu nanti.

Pada PRK Parlimen Kuala Terengganu, calon PAS, Haji Mohd Abdul Wahid Endut yang mewakili Pakatan Rakyat (PR) mengalahkan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dengan majoriti 2,631 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran yang menewaskan calon PAS, Haji Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Yahaya menambah, pihaknya yakin dengan para petugas dari negeri ini yang ditempatkan di Unit Peti Undi (UPU) Teluk Kemang untuk membantu para petugas PR seluruh negara bagi memenangkan calon PAS dalam PRK Dun Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

PRK itu diadakan berikutan kematian Adun Bagan Pinang, Azman Mohamad Noor pada 4 September lalu di mana pada PRU 2008 lalu, beliau menewaskan calon PAS, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Friday, September 18, 2009

[PRK N.31 Bagan Pinang] Majlis Pelancaran Gerak Kerja Pas DUN Bagan Pinang

Jentera Kerja pilihan raya PAS dan Laman Web Rasmi PRK Bagan Pinang secara rasmi telah dilancarkan oleh YB Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS dalam satu majlis pelancaran jentera parti malam tadi. Majlis turut dihadiri Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasaruddin, Pesuruhjaya Negeri Sembilan Zulkifli Omar dan pimpinan Pakatan Rakyat dari DAP antaranya YB Loke (MP Rasah), YB Anthony Fernandez (MP Seremban) dan YB Ean Yong Tin Sin (ADUN Lukut). Tidak kelihatan YB MP Teluk Kemang, YB ADUN Port Dickson dan YB ADUN Chuah - kesemuanya dari PKR dan tidak diketahui samada mendapat jemputan atau tidak).

YB Loke dalam ucapan pembukaannya menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi kepada bakal calon PAS yang akan bertanding di Bagan Pinang, DAP dari awal lagi menunjukkan sokongan dengan membuka bilik gerakan untuk memberi penerangan kepada pungundi cina.

Di akhirnya, Tuan Guru presiden menyeru kepada ahli PAS agar dapat memberi sumbangan tenaga mahupun wang ringgit bagi membantu jentera PRK Bagan Pinang dengan lancar.

Terdahulu dalam satu mesyuarat jentera pilihanraya yang berlangsung pada sebelah petang, PAS kawasan-kawasan di dalam Negeri Sembilan telah diberikan amanah mengetuai UPU yang terdapat dalam DUN Bagan Pinang sambil dibantu negeri-negeri. Maklumat lanjut tentang perkara ini akan dimaklumkan kemudian.

Monday, September 14, 2009

[PRK N.31 Bagan Pinang] SPR Buktikan Sikap Sebenar

PRK Bagan Pinang dengan rasminya akan berlangsung pada 11 Oktober manakala hari penamaan calon seminggu sebelum itu iaitu pada 03 Oktober. Kedua-dua tarikh ini jatuh pada hari cuti hujung minggu. Kalau kita imbas kembali tarikh-tarikh lapan pilihanraya kecil pasca PRU 2008 semuanya diadakan bukan hari minggu. Bermula dari PRK Permatang Pauh hinggalah kepada PRK Permatang Pasir SPR lebih suka menyusahkan pengundi untuk pulang mengundi daripada memudahkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

Tetapi PRK Bagan Pinang ini nampaknya SPR menukar strategi, mungkin dengan keyakinan memenangi majoriti lebih 2000 undi pada PRU 2008 Umno-BN mengharapkan strategi hari mengundi yang jatuh pada hari cuti minggu akan meningkatkan lagi majoriti mereka. Sekaligus kemenangan Umno-BN dan peningkatan majoriti undi akan dicanang seantero pelusuk negara bahawa mereka telah mendapat kembali sokongan rakyat. Taktik Umno-BN bersama proksi jahat SPR telah diketahui rakyat Malaysia, sikap double standard yang dilakukan SPR menambah kejelikan rakyat kepada Umno-BN.

Bersama menyokong calon Pakatan Rakyat

Friday, September 11, 2009

[PRK N.31 Bagan Pinang] PAS perlu calon yang dekat di hati pengundi

Calon Pas 2008 (atas)
Keputusan 2004 & 2008 (bawah)

Berikut senarai calon favourite PAS yang sedang dipertimbangkan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, presiden PAS.

1. Zulkefly Mohamad Hj. Omar - Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan
- Bekas calon di Dun Lenggeng dan tewas sejak 1999

2. Ustaz Mohd. Kassim Tahir - AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Sembilan
- Bekas Ketua Dewan Ulama PAS Begeri Sembilan - sila rujuk sini. (bukan Ketua Dewan Ulama)

3. Haji Ramli bin Ismail - YDP PAS Kawasan Teluk Kemang
- Calon PAS PRU 2008 di DUN Bagan Pinang

4. Dr. Rosli Yaakob - Mantan Pesuruhjaya PAS
- Bekas calon DUN Linggi 1999 dan bekas calon Parlimen Jelebu dan DUN Paroi 2004

Dari senarai ini, calon ketiga iaitu Haji Ramli bin Ismail bekas calon PRU 2008 di DUN ini wajar diberi peluang sekali lagi untuk memimpin DUN Bagan Pinang. Sebagai seorang anak tempatan dan bekas tentera kelebihan yang dimiliki ini pastinya pilihan terbaik pengundi DUN Bagan Pinang. Harus diingat, sentimen anak tempatan pasti akan dijadikan isu oleh Umno andai Zulkefly Omar dipilih, manakala faktor usia bagi calon pilihan kedua ustaz Kasim Tahir dan faktor kemampuan Dr. Rosli Yaakob yang sibuk berurus niaga di luar negara sekiranya dipilih menjadi calon. Sekiranya Pas gagal memilih calon yang terbaik impian penyokong Pakatan Rakyat meraikan kemenangan ke-8 hanya akan tinggal kenangan. Gagal merancang bererti merancang untuk gagal.

Wednesday, September 9, 2009

[Harakah] Salahudin pengarah, Pakatan serah PAS pilih calon

KUALA LUMPUR, 9 Sept : Selepas PAS melantik Naib Presidennya, Salahudin Ayub sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Telok Kemang, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pula memutuskan PAS akan bertanding di kerusi itu.

Keputusan melantik Salahudin dibuat oleh Lajnah Politik PAS yang bersidang di sini Isnin lepas. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di Seremban, keputusan memberi mandat kepada PAS untuk meletakkan calon di situ dibuat dalam mesyuarat bersama PAS, PKR dan DAP.

Dalam sidang media bersama mereka, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar memaklumkan keputusan itu.

Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Ketua Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi DAP negeri yang juga Anggota Parlimen Rasah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Loke Siew Fook.

Datuk Kamarul yang juga anggota Parlimen Telok Kemang berkata, PKR akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih oleh PAS.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Telok Kemang meminta agar calon PKR diletakkan dalam pilihan raya kecil itu.

Gambar : Tokoh-tokoh penting di Bagan Pinang. Dari kiri Isa (Ketua Umno Bahagian), Ramli Ismail (YDP PAS Kawasan), Husam (AJK PAS) dan Zulkefli (PJ PAS Negeri)

Dalam pilihanraya umum tahun lepas, Azman Mohd Nor, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi. Majoriti kemenangan adalah 2,333.

Halangan besar calon Pakatan dalam pilihanraya ini adalah undi Pos yang melebihi 5,000 orang atau kira-kira 30 peratus dari pengundi kawasan ini.

Sementara itu, PAS Negeri Sembilan dikatakan mempunyai empat nama untuk menjadi calon di sini.

Mereka adalah Zulkefli sendiri di samping bekas Pesuruhajaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob, Ketua Dewan Ulama negeri, Kassim Tahir dan bekas calon dalam pilihan raya lalu, Ramli Ismail. Ramli adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang.

Di pihak Barisan Nasional pula, nama bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad disebut-sebut bakal menjadi calon.

Namun menurut satu sumber lain, bagi meringankan tekanan kepada calon yang mempunyai rekod tidak baik itu, nama anak beliau Mohd Najib disebut-sebut sebagai ganti.

Keputusan untuk menyerahkan kepada Umno Telok Kemang yang dipimpin Mohd Isa untuk membuat keputusan menamakan calon di situ dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri.

Monday, September 7, 2009

[Malaysia Today] Kalah di Bagan Pinang bererti habislah riwayat Umno

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS kalah kepada Azman dengan 2,333 undi. Faktor utama kemenangan calon BN adalah kehadiran kira-kira 5,000 pengundi pos Tentera Darat di kawasan yang mempunyai kira-kira 14,000 pengundi itu.

PAS yakin, jika calonnya berjaya mengalahkan calon Umno dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang dekat sini, Umno akan jatuh pra matang atau sebelum masa ia akan jatuh sebagaimana yang sepatutnya.

Sekurang-kurangnya inilah pandangan AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa. Ini kerana, jika Umno kalah di kawasan yang dimenanginya dengan majoriti lebih 2,000 undi ini bermakna Umno benar-benar ditolak rakyat.

Husam menyertai para pemimpin kanan PAS Negeri Sembilan menziarahi jenazah Allahyarham Azman Mohd Nor, Adun Bagan Pinang yang meninggal Jumaat lepas. Antaranya Pesuruhjaya PAS negeri, Zulkefli Mohd Omar dan Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang yang juga calon PAS dalam pilihan raya umum 2008 lalu, Ramli Ismai.

Husam bergegas dari Kuala Lumpur hanya berbuka di atas kereta sebelum terus ke tanah perkuburan Islam Bagan Pinang. Ketika beliau dan rombongannya sampai kira-kira jam 7.50 malam, jenazah Azman belum sampai lagi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan anaknya, Mohd Najib tiba selepas itu iaitu sejurus sebelum kereta jenazah tiba. Isa adalah Ketua Cawangan Umno di situ di samping Ketua Umno Bahagian itu.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS kalah kepada Azman dengan 2,333 undi. Faktor utama kemenangan calon BN adalah kehadiran kira-kira 5,000 pengundi pos Tentera Darat di kawasan yang mempunyai kira-kira 14,000 pengundi itu.

Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa (1,903 undi), 2 KAD Kem Sunggala (1,130 undi), IJED Kem Kg Sawah (847 undi), IPDA Port Dickson (407 undi), 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa (265 undi), 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah (165 undi), Sekolah Pertukangan Perintis (105 undi) dan ILMI Port Dickson (103 undi).

Dalam pilihan raya 2008, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain.

Jika Pakatan Rakyat mengekalkan persefahamannya, calon PAS akan diletakkan dalam pilihan raya kecil ini bagi mewakili mereka. Bagaimana, Ketua Angkatan Muda PKR Telok Kemang dalam kenyataannya menuntut agar kerusi itu ditandingi oleh PKR.

Bagan Pinang mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu empat majoriti India, empat kawasan Melayu dan campuran Cina serta undi pos.

Dalam pilihan raya lalu, PAS hanya menang di tiga daerah mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. Ketiga-tiga kawasan itu adalah majoriti pengundi India.

PAS kalah paling teruk undi undi pos. Dari 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan, PAS hanya mendapat 1,189 undi manakala calon BN 3,080 undi.

PAS paling banyak menang di Ladang Aterton di mana calon PAS menang dengan majoriti 84 undi.

Berdasarkan rekod pilihan raya kecil sebelum ini, PAS dijangka akan meningkatkan undinya di kalangan orang India. Tambahan lagi dengan apa yang berlaku di Selangor baru-baru ini apabila sekumpulan penyokong Umno mengarakkan kepala lembu berdarah ke Pejabat MB Selangor.

Namun kebimbangan terhadap undi pos menjadi mimpi ngeri bagi PAS. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri membangkitkan perkara ini.

"Kami meragui undi pos kerana kami tahu undi pos seperti askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi.

"Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," kata beliau ketika ditemui semasa pertemuan dengan pemimpin PAS Perak di Ipoh.

Bagaimanapun sebagaimana kata Husam, adalah tidak mustahil untuk PAS menang dalam pilihan raya kecil ini dan jika PAS menang bererti nyawa Umno benar-benar di hujung tanduk.

[Harakah] Calon bakal cetus polemik dalam Umno Negeri Sembilan

TELUK KEMANG, 7 Sept: Desas desus siapakah calon Umno-BN di kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang semakin panas.Jika sebelum ini ramai menjangka akan berlaku pertempuran dalaman dalam menentukan calon puak mana yang bertanding, tapi kini bayangan calon semakin jelas.

Difaham terdapat tiga kem utama di dalam Umno Negeri Sembilan iaitu kem Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohd Hasan, kem bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Bahagian Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan negeri(ADUN) Lenggeng. Walau bagaimanapun Mohd Isa dan Ishak masing-masing boleh duduk semeja untuk berbincang dan dianggap rakan politik.

Ishak dikatakan mempunyai hubungan yang akrab dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sementara itu Ahli Parlimen Rembau dan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin pula boleh dikatakan seorang "lone ranger" di dalam Umno Negeri Sembilan.

Seorang lagi tokoh tempatan, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim juga merupakan seorang "lone ranger" yang tidak mempunyai sebarang "team" khusus di dalam Umno Negeri Sembilan.

Senario ini cukup menggambarkan bagaimana Umno Negeri Sembilan sebenarnya kini berada dalam keadaan yang retak menanti belah. Kesepakatan merupakan satu agenda yang agak jahil bagi Umno Negeri Sembilan.

Maka pada mulanya ramai yang menjangka akan berlaku perebutan dalam menentukan calon. Iaitu sama ada dari kem Mohd Isa yang merupakan Ketua Bahagian Umno Teluk Kemang atau pun calon dari kem Mohd Hasan, Pengerusi Perhubungan.

(Gambar: Bapak atau anak bapak akan menjadi calon di Bagan Pinang. Mohd Isa dan anaknya Mohd Najib (kanan sekali) semasa di tanah perkuburan Allahyarham Azman)

Namun kini maklumat terbaru yang diperolehi, Mohd Hasan telah menyerahkan tugas memilih calon kepada Mohd Isa. Desas desus daripada Umno bahawa terdapat dua calon popular untuk bertanding kerusi Bagan Pinang iaitu Mohd Isa sendiri atau pun anak lelaki beliau, Mohd Najib Mohd Isa.

Mungkin ramai yang beranggapan dengan kerelaan Mohd Hasan agar bakal calon ditentukan oleh Mohd Isa sebagai petanda positif yang baik di dalam Umno Negeri Sembilan.

Sedia maklum Mohd Hasan menghadapi tekanan hebat sejak Pilihanraya Umum ke-12. Bukan sahaja untuk kali pertama dalam sejarah politik Negeri Sembilan BN kecundang di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri, malah pada pemilihan Umno pada tahun ini, ramai orang beliau telah tumpas di peringkat bahagian walaupun ada diantara mereka merupakan ADUN.

Mengikut sumber Umno yang menghubungi Harakahdaily, walaupun pada awalnya Mohd Hasan dilihat menyerahkan kepada Mohd Isa untuk menentukan calon Bagan Pinang, namun situasi sebenarnya hanya akan dapat dilihat apabila tarikh penamaan calon semakin dekat.

"Ada kemungkinan Menteri Besar boleh menolak calon pilihan Mohd Isa atau Umno Teluk Kemang dan mencalonkan calon pilihannya.

"Jika calon Bagan Pinang itu adalah Mohd Isa, jika beliau menang, apakah bekas Menteri Besar hanya menjadi ADUN biasa?" ujar sumber Umno tersebut kepada Harakahdaily.

Sumber tersebut turut meramalkan andaikata Mohd Isa menang, ada kemungkinan Najib akan melantik Mohd Isa sebagai menteri besar, memandangkan Mohd Isa sememangnya dari kem Najib sejak dulu lagi.

Jika ini berlaku, pergolakan dalam Umno Negeri Sembilan pasti akan lebih parah, kerana sudah pasti pemimpin negeri di kem Mohd Hasan yang ramai juga terdiri daripada ADUN tidak akan puas hati dengan perubahan pucuk pimpinan peringkat negeri yang meminggirkan Mohd Hasan.

Maka dapatlah dirumuskan Pilihan raya Kecil Bagan Pinang akan mencetuskan pelbagai polemik dalaman di dalam Umno.

Sunday, September 6, 2009

[PRK N.31 Bagan Pinang] Legasi TSIS antara disebut calon Umno

Khabar angin yang bertiup dari selat melaka menuju pantai Port Dickson sedang panas membicarakan calon-calon berpotensi yang akan dikemukakan bahagian Teluk Kemang.

TSIS mantan MB Negeri Sembilan yang disingkirkan Pak Lah pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk membuat come back dalam politik tanahair. Beliau yang juga ketua bahagian dan juga ketua cawangan Bagan Pinang pernah memenangi jawatan Naib Presiden Umno sebelum disingkirkan akibat rasuah. Bertitik tolak dari situ politik TSIS kian kabur, MP Jempol yang disandangnya juga terpaksa diserahkan kepada calon lain pada PRU-12.

Namun demikian, TSIS mempunyai grass root yang kuat di Teluk Kemang, TSIS dikenali sebagai orang yang setia dengan team Mahathir dan Najib sebab itulah apabila Najib naik sebagai Perdana Menteri, TSIS masih mampu mendapat kembali jawatan ketua bahagian dengan mudah tanpa ada sebarang pertandingan.

Kini peluangnya terbuka luas untuk kembali paling tidak pada peringkat negeri, mungkin juga Najib akan mengembalikan kerusi MB yang dilepaskan kepada Mohammad andai berjaya mengekalkan kerusi Bagan Pinang. Itu andaian awal. Tapi mungkin juga TSIS akan mencadangkan anaknya Mohd. Najib Mohd. Isa, Naib ketua pemuda Umno sebagai legasi politik beliau di Negeri Sembilan. Khabar terbaru ini pasti akan membuat Mohammad Hassan tidak akan tidur lena.

*N.32 Linggi pernah diwakili TSIS semasa beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan

Saturday, September 5, 2009

[PRK N.31 Bagan Pinang] - Peluang Jana Kekayaan

Umno-BN pasti akan tabur duit lagi di Bagan Pinang, penduduk Port Dickson khususnya pengundi Bagan Pinang akan mendapat durian runtuh tak lama lagi. Sambutan Hari Raya tahun ini pastinya berbeza dengan sambutan tahun-tahun sebelum ini. Peluang yang ditunggu-tunggu untuk Najib dan Muhyidin untuk mengarak slogan 1Malaysia.

Friday, September 4, 2009

Analisa Ringkas Dun Bagan Pinang

N.31-Bagan Pinang merupakan salah satu dun yang terdapat dalam Parlimen Teluk Kemang. Selain Bagan Pinang terdapat juga dun Chuah, Lukut, Linggi dan Port Dickson.

Menariknya Parlimen Teluk Kemang ini dimenangi Dato' Kamarul Baharin Abbas, Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Sembilan bersama-sama dengan dun Chuah dan dun Port Dickson. DAP memenangi dun Lukut. BN pula hanya mampu menawan dun Linggi dan Bagan Pinang. BN menewaskan calon PKR di Linggi dan menewaskan calon PAS di Bagan Pinang. Linggi merupakan dun Isa Samad semasa beliau menjadi MB Negeri Sembilan sebelum bertanding di Parlimen Jempul untuk menjadi menteri pada 2004.

Harus kita ingati kembali Pilihanraya Kecil di sini bukanlah kali pertama berlaku di parlimen Teluk Kemang sebaliknya kali kedua dalam tempoh kurang 10 tahun. Tahun 2000 menyaksikan PRK Parlimen Teluk Kemang antara wakil Keadilan Roslan Kasim dan BN Sothinathan. Wakil MIC-BN menang dengan majoriti lebih 5000 undi.

Berbalik kepada dun Bagan Pinang, dun ini merupakan dun yang ditandingi PAS sejak 1999 (sejak dikenali dun Pasir Panjang). PRU sebelum itu, tahun 1990 dan 1995 kerusi ini ditandingi S46.

Semasa PRK Teluk Kemang tahun 2000 dimana calon MIC-BN walaupun menang secara keseluruhan dengan majoriti 5,972 undi tetapi sebenarnya kalah di dun Lukut dengan 297 undi sementara menang tipis di dun Pasir Panjang dengan kelebihan 1,034 undi tetapi menang besar di dun Chembong, Linggi dan Si Rusa (sebelum persempadanan semula). Bagi PRU 2004 selepas persempadanan semula menampakkan pengundi beralih semula menyokong BN kerana MIC-BN telah memenangi kerusi Parlimen Teluk Kemang dengan majoriti yang besar iaitu 17,777 undi dan memenangi kesemua dun termasuk dun Lukut dan penambahan majoriti di dun Bagan Pinang (dulunya dun Pasir Panjang) iaitu calon UMNO-BN YB Sdr. Mohd Faizal Ramli menang besar dengan majoriti 4,411 undi. [klik]


Bagaimanapun, calon baru UMNO-BN Azman Mohammad Noor yang bertanding pada tahun 2008 menentang calon PAS Ramli Ismail, memenangi dengan majoriti yang berkurangan berbanding PRU sebelumnya iaitu sebanyak 2333 undi.

Apa yang menjadi kerisauan kepada pakatan rakyat khususnya PAS ialah bagaimana untuk menghadapi undi pos yang dianggarkan sebanyak 4000 undi di dun Bagan Pinang.

Laman Alternatif Pilihanraya Kecil N.31 Bagan Pinang

Salam Ramadhan, Salam Merdeka!!!

Sempena pilihanraya kecil N.31 Dun Bagan Pinang yang dijangka berlangsung selapas Aidilfitri. Blog ini diwujudkan sebagai persediaan menghadapi PRK ini dan diharapkan semua sumber maklumat dapat disatukan dan dapat disampaikan agar dapat menjadi panduan kepada setiap pengundi untuk memilih calon. Semoga saudara/saudari dapat memanfaat daripada teknologi pada hari ini.